Wednesday, September 30, 2015

Bahaya diabetes serang Gen Y



JANGAN kerana terlalu yakin usia masih muda hingga kita terlepas pandang menjalani pemeriksaan kesihatan dan memandang remeh tentang penjagaan tersebut.

.com percaya ramai dalam kalangan generasi Y tidak mengambil kisah perihal kesihatan. Ubah persepsi itu kerana bukan semua andaian kamu itu benar.

Bukan fenomena luar biasa jika anak muda tidak peka perihal kesihatan diri kecuali jika ia melibatkan penyakit berjangkit yang disebabkan wabak menular.

Ramai menyangka penyakit diabetes hanya dapat dikesan dan dihidapi orang dewasa ataupun individu gemuk serta tidak aktif bersukan.

Sebenarnya, andaian ini tidak boleh dipandang ringan kerana penyakit diabetes dikategorikan sebagai salah satu penyakit kronik paling kerap dihidapi kanak-kanak dan anak muda.

Terkejut?. Ya... golongan muda seperti kamu juga tidak terlepas daripada risiko penyakit diabetis. Ini kerana pada zaman moden, penyakit itu tidak pernah mengenal usia untuk menyerang. Apatah lagi gaya hidup dan corak pemakanan generasi muda hari ini lebih banyak menjurus kepada dijangkiti penyakit tersebut.

Malah difahamkan, diabetes boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia termasuk bayi dan anak kecil yang baru bertatih.

Tahukah kamu, laporan daripada Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) mendapati lebih 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap penyakit diabetis pada tahun 2011. Jumlah itu merupakan suatu angka yang amat mengejutkan dan dibimbangi akan meningkat saban tahun.

Menurut Pengarah Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan, Rokiah Don berkata, kegagalan rakyat Malaysia mengawal pemakanan walaupun menyedari ia menjadi punca pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD), menyebabkan semakin ramai daripada mereka menghidap diabetes.

Peratusan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes, satu daripada NCD, meningkat setiap tahun hingga membimbangkan Kementerian Kesihatan.

“Statistik NHMS mendapati bilangan pesakit diabetes berumur 18 tahun dan ke atas meningkat kepada 31 peratus tahun ini berbanding 15.2 peratus pada 2011.

“Kami bimbang kerana semakin ramai orang muda menghidap diabetes sedangkan penyakit NCD ini dahulunya hanya dihidapi mereka yang lebih tua,” katanya semasa berucap pada seminar ‘Kesihatan dan Nutrisi: Penambahbaikan ialah Usaha Bersama’ anjuran Kumpulan Pengilang Makanan Malaysia dalam Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM-MAFMAG) baru-baru ini. – DHIYA’ZULHILMI DAUD

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-diabetes-serang-gen-y-1.140070#sthash.XNAhx3nU.dpuf

No comments:

Post a Comment