Friday, June 19, 2015

DAP memulakan 'game', DAP juga mengakhirinya

HARAKAHDAILY 
KUALA LUMPUR: "Saya melihat ini satu ‘game’ yang telah lama dimulakan oleh DAP dengan mengambil kesempatan dalam beberapa isu intra koalisi Pakatan Rakyat serta berterusan menyerang peribadi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," ujar Khairil Nizam Khirudin.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu merujuk kepada laporan berita RoketKini bertarikh 16 Jun 2015, mesyuarat Jawatankuasa Pusat DAP telah membuat keputusan bahawa Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud atau mati.

"PAS telah beberapa kali mengulangi ketetapan bahawa kami tidak akan bekerjasama dengan Umno apatah lagi membentuk Kerajaan Perpaduan dengan parti tersebut," tulisnya menerusi facebook.

Kataya, kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selepas Muktamar Tahunan PAS telah menegaskan perkara itu.

Begitu juga, katanya isu yang dipertikaikan oleh DAP mengenai pertukaran Menteri Besar Selangor yang turut dijawab dengan baik walaupun ia berpunca daripada tindakan kontroversi beberapa pihak yang bermula dengan Kajang Move.

Tambahnya, wakil pimpinan PAS juga telah memberikan penjelasan serta dialog bersama pimpinan DAP berhubung isu implementasi Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.

Ini, kata beliau menunjukkan bahawa segala isu yang dibangkitkan telah dijawab oleh PAS.

Namun, ujarnya sehingga laporan berita RoketKini semalam, DAP masih terus memfitnah PAS dan Presiden secara khususnya.

Parti tersebut juga, katanya telah mengambil keputusan drastik sebelum ini dengan membatalkan kerjasama politik di Sarawak, Sabah dan terakhir memutuskan hubungan dengan Presiden PAS pada 24 Mac 2015.

Kemudian, tambah beliau DAP secara konsisten menyerang hampir setiap hari dan mencampuri urusan dalaman pemilihan PAS menjelang Muktamar Tahunan PAS yang lalu.

Menurutnya, perkara itu turut disedari dan ditempelak oleh beberapa pimpinan PAS yang turut kalah dalam pemilihan baru-baru ini.

"Tindakan-tindakan melampau DAP inilah yang memaksa Dewan Ulamak PAS Pusat membuat reaksi dan mengusulkan satu usul tergempar bagi memutuskan hubungan dengan DAP dan kekal di dalam Pakatan Rakyat.

"Walau bagaimanapun, ia dengan syarat mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak PAS," ujarnya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Katanya lagi, kenyataan Lim Guan Eng sejurus selepas mesyuarat jawatankuasa parti berkenaan harus merujuk kepada kenyataan kontradik Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali yang masih rasional mempertimbangkan situasi yang berlaku.

Beliau menambah, Azmin masih optimis dengan kerjasama Pakatan Rakyat di Selangor dan menolak pilihan untuk membubarkan Dun.

"Dalam sandiwara ini, DAP dilihat terlalu ofensif, gopoh dan terburu-buru menyerang PAS. Mereka sendiri yang memulakan ‘game’ ini dan mereka sendiri yang akhirnya mematikan Pakatan Rakyat.

"Kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi menekankan yang kami bersama-sama Presiden PAS dan kepimpinannya untuk bersama-sama komited dalam bertahalluf dengan Pakatan Rakyat selagi mana ia selari dengan ketetapan syara yg digariskan oleh Majlis Syura Ulamak," tegasnya. - HARAKAHDAILY

Pakatan: Presiden PAS ulas Kenyataan Guan Eng

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa persetujuan bertulis pernah dibuat bersama antara tiga parti dalam Pakatan Rakyat bagi menghormati hak masing-masing.

“Sebab itu, kita (PAS) memberi peringatan acap kali dan sudah diadakan tandatangan bersama iaitu mereka menerima hak kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS untuk membuat sesuatu bagi melaksanakan Islam.

“Hak dia (DAP) tidak setuju terpulang kepada dia, tapi dia (DAP) hendak nasihat supaya kita berhenti itu tidak bolehlah,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, pagi tadi.

Beliau menjelaskan demikian ketika mengulas tindakan DAP menentang RUU persendirian yang dibawa oleh PAS ke Parlimen, baru-baru ini.

Namun, katanya PAS telah mencapai satu kejayaan apabila berjaya menarik orang bukan Islam menjadi ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam sayap parti.

Berikut adalah transkrip ringkas soal jawab beliau bersama media.

Soalan: Sekarang ini apa yang akan PAS buat kepada DAP yang telah bubar Pakatan Rakyat, adakah PAS masih lagi mahu berada dalam pakatan?

Jawapan: Pertama, bila disebut pakatan bermakna banyak parti dan bukan satu parti sahaja. Jika hanya satu parti buat keputusan itu bukan pakatan. Pakatan ini kena ada dua sekurang-kurang atau pun banyak (parti). Dalam hal ini kita faham apa makna pakatan. Sehingga hari ini, PKR masih tidak buat apa-apa kenyataan dan DAP telah membuat kenyataan dia. Ada pun dari segi buat keputusan PAS ini bukan milik saya seorang. PAS ini milik pimpinan secara kolektif dan dengan sebab itu saya perlu merujuk kepada kepimpinan PAS dan termasuklah yang menjaga teras kepada dasar PAS iaitu Majlis Syura Ulamak.

Pada Datuk Seri, adakah Datuk Seri sebagai Presiden PAS boleh terima kenyataan Lim Guan Eng yang mendakwa tidak wujud lagi Pakatan Rakyat?

Itu kenyataan peribadi dan pada saya itu satu kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti itu bukan pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti yang ada dalam pakatan itu. Boleh buka Kamus Dewan tengok apa makna pakatan.

Pada Datuk Seri, status Pakatan Rakyat itu masih wujud?

Ya, sehingga kini masih wujud.

Tetapi, Datuk Seri, Lim Guan Eng kata PKR juga telah menyatakan Pakatan Rakyat juga sudah tidak wujud lagi?

Saya melihat Kamus Dewan apa makna pakatan dan dengan sebab itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kita berpisah. Dan ini menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada. Manakala, dengan DAP sehingga hari ini kita masih belum dapat satu keputusan secara rasmi dan kita dapat melalui media sahaja.

Maknanya PAS akan bekerjasama dengan PKR sahaja?

Kita bekerjasama dengan semua parti yang tidak cauvinis, itu sikap kita.

Datuk Seri, dalam muktamar PAS mahu melihat semula tahaluf siasi. Tapi, apabila pendekatan yang dibuat oleh Lim Guan Eng dalam soal bubar pakatan ini, maksudnya PAS masih mahu pertahankan pakatan ini atau masih menunggu MSU untuk membuat keputusan?

Pakatan Rakyat dibubarkan dan terbubar dengan sendirinya apabila semua parti dalam Pakatan Rakyat keluar daripada pakatan atau dipecat semua tinggal satu sahaja. Jika masih ada dua itu masih dalam pakatan.

Bagaimana dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang yang memecat Ahli Majlis PBT. Adakah itu sememangnya DAP mahu memutuskan hubungan dengan PAS, Datuk Seri?

Kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja melibatkan dengan PAS termasuklah dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti PKR masih ada lagi dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sebab itu, keputusan kerajaan negeri mesti keputusan kerajaan yang melibatkan parti yang ada dalam kerajaan itu.

Datuk Seri, yang jelas PAS masih sayangkan Pakatan Rakyat?

Kita sayangkan perpaduan. Perpaduan kaum kerana kita menerima hakikat masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.

Pada Datuk Seri, Lim Guan Eng tidak berhak membut keputusan bubar pakatan?

Itu terpulang kepada masyarakat di bawah menilai. Biar masyarakat umum melihat kenyataan dia.

Bila agaknya, Majlis Syura Ulamak (MSU) akan membuat keputusan di antara hubungan PAS dengan DAP?

Itu akan ditentukan dalam mesyuarat yang ditentukan oleh Jawatankuasa PAS Pusat pada bila-bila masa sahaja dalam masa terdekat ini, insya Allah. - HARAKAHDAILY

Tuesday, June 2, 2015

MAS dikhianati oleh ahli politik dan pengurusan tengahnya


oleh Mariam Mokhtar

SEKILAS PANDANG: Perdana menteri dan ahli politik memaksa salah satu aset kebangsaan negara jatuh tertunduk. Tahun demi tahun, MAS menerima anugerah antarabangsa kerana perkhidmatannya yang cemerlang. Jika pekerja MAS ialah aset mereka yang paling berharga, mengapa mereka yang akhirnya menjadi mangsa?

Malah graduan Bumiputera yang paling bijak, di Khazanah, yang mempunyai saham terbesar dalam MAS, perlu merujuk kepada Perdana Menteri. Kedua-dua Khazanah dan MAS, cenderung memberitahu PM apa yang dia mahu dengar. Tiada siapa yang berminat menyelamatkan syarikat penerbangan itu; semua pihak hanya mahu menjaga periuk nasi sendiri. Khazanah perlu mencairkan semua kepentingannya dalam syarikat awam yang disenaraikan.


Jika bukti anekdot boleh dipercayai, salah satu tugas pertama Christoph Mueller (kiri), apabila dia menjadi CEO MAS, pada 1 Mei adalah menentukan jumlah pengurus yang berada dalam MAS. Tiada siapa pun tahu. Ini menimbulkan kekusutan kerana Mueller tidak dapat mengeluarkan rancangan menyelamatkan sehingga dia pasti jumlah pengurus tengah dan rantaian kuasa yang tepat.

Pengurus tengah ialah pihak penghubung antara pihak pengurusan tertinggi dan pekerja bawahan. Jika pengurus tengah enggan memberitahu pengurusan tertinggi apa yang berlaku dengan pekerja bawahan, tidak ada dasar yang boleh dirancang bagi menguruskan MAS dengan berkesan.

Begitu juga, pengurusan tertinggi yang lemah, dan kawalan kuasa yang lemah dalam kalangan pengurus tengah, membenarkan pengurus tengah untuk membina empayar mereka dan melakukan pengurusan yang tidak baik. Ramai pengurus yang didakwa mengawal bajet yang besar, tanpa pengawalan daripada pengurusan tertinggi.

Di sesetengah tempat di luar negara, pengurus tengah di dakwa mengetahui yang ada pengendali beg melakukan tugas untuk syarikat kargo pesaing, seterusnya mengambil perniagaan daripada MAS-Cargo. Walaupun terdapat peraturan ketat, pengurusan tengah ini mengabaikan penyelia mereka yang mengambil makanan yang tidak digunakan, barangan tandas yang diberi percuma, daripada “lounge emas” dan kelab kelas. Orang terkenal menerima elaun beg yang melampau dan di naik taraf.

Jadi, bagaimana MAS mahu mengesan pengampu ini? Mereka ialah kakitangan yang menerima, atau menghantar ahli keluarga diraja, walaupun sedang bercuti. Orang yang sama akhirnya dianugerahkan gelaran Datuk kerana ‘perkhidmatan’ yang diberikan.

Rakyat Malaysia yang bengang mendesak supaya MAS lebih tegas dan berfungis dengan baik, tetapi pernahkah rakyat terfikir dengan rayuan kakitangan yang menjadi mangsa ini? Bukan salah pekerja jika MAS menjadi seperti jabatan Perdana Menteri yang besar itu. Sekurangnya MAS ialah organisasi di seluruh dunia dan bertindak sebagai duta kepada Malaysia. 45,000 kakitangan di jabatan PM pula hanya menjawab kepada perdana menteri.

Sangat tidak bermoral untuk membiarkan pekerja MAS menderita emosi berbulan-bulan lamanya kerana tertanya-tanya adakah mereka masih ada kerja pada bulan Jun. Apabila beberapa orang yang bertuah (yang akan dikekalkan oleh MAS), membuka surat mereka pada 1 Jun, mereka hanya diberikan masa seminggu untuk bersetuju, kepada syarat dan terma baru MAS, yang diberikan kod nama “NewCo”.

Ini ialah masa mencabar untuk semua pekerja MAS, keluarga mereka, dan juga syarikat dan individu yang mempunyai kaitan dengan MAS, daripada agensi pelancongan, sehinggalah pemandu teksi.

Pekerja MAS yang lebih lama dan berpengalaman bimbang yang mereka akan dibuang dahulu kerana gaji mereka yang lebih tinggi.

Pekerja yang muda pula tertanya-tanya bagaimana mereka akan membiayai pinjaman rumah dan kereta, atau membayar pendidikan anak-anak mereka, jika mereka dipecat.

Sebahagian ahli lembaga pengarah pula didakwa menerima imbuhan bulanan lebih daripada RM100,000; sedangkan, pekerja bawahan MAS pula akan dipecat. Pekerja MAS bersedia untuk bekerja keras, bagi memastikan syarikat mereka terus bertahan. Mereka dikhianati oleh kepimpinan lemah berdekad lamanya dan kegagalan untuk memotivasi dan memberikan semangat kepada mereka.

Apabila Aziz Abdul Rahman bersara sebagai pengarah urusan dan CEO pada 1991, MAS mempunyai simpanan tunai sebanyak RM5 bilion.

Pada 1994, Tajuddin Ramli membeli 32% saham MAS, apabila bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melakukan perjanjian penswastaan dengan kroninya, untuk memberikan pinjaman sebanyak RM1.79 bilion, bagi membeli saham tersebut. Pada 2001, Tajuddin menjual sahamnya, kepada kerajaan, dengan harga yang rendah.

Ahli politik dan barisan lembaga pengarah telah membiarkan MAS jatuh teruk, tetapi kakitangan MAS yang akhirnya terpaksa merasai keperitan kewangan.

- See more at: http://bm.theantdaily.com/Terkini/MAS-dikhianati-oleh-ahli-politik-dan-pengurusan-tengahnya#sthash.7SwBBAZf.dpuf